Tuesday 22 April 2014

Berita Penemuan Bangkai Penyu Karah di W.P. Labuan

Berita tentang penemuan bangkai penyu karah di pesisir pantai Tanjung Purun, W.P. Labuan ini telah dikongsi oleh saudari Khatijah Jistoh. Semoga berita ini dapat sampai ke pengetahuan segenap masyarakat tempatan dan pihak yang berwajib untuk sama - sama sedar akan kepentingan memelihara spesis penyu ini yang sedang diancam kepupusan.


Dua Bangkai Penyu Karah Ditemui Di Tanjung Purun, Labuan

LABUAN, 22 April (Bernama) -- Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan memandang serius penemuan dua bangkai penyu Karah yang terdampar di kawasan pesisir Pantai Tanjung Purun dekat sini pagi semalam. 
Ketua Pangkalan Unit Marin Jabatan Perikanan Labuan Jamari Abu Bakar berkata meskipun kes kematian penyu di pulau bebas cukai itu tidak tinggi namun tugas melindungi haiwan purba khazanah negara itu tidak harus dipandang mudah. 
"Kepentingan melindungi dan mengurus sumber penyu adalah tanggungjawab bersama kerana haiwan purba itu merupakan salah satu produk pelancongan di sini. Lagipun Labuan memiliki pusat penetasan penyu jenis Karah dan Agar di kawasan Taman Laut Pulau Rusukan Besar," katanya kepada Bernama. 
Jamari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penemuan dua ekor penyu yang masing-masing sepanjang 3.5 meter dan 1.5 meter dan berkeadaan reput. Usia penyu berkenaan dianggarkan lebih 20 tahun. 
Penyu berkenaan ditemui seorang pekerja Jabatan Muzium Marin Labuan, Suriani Abd Ghani, yang kemudian menghubungi pihak Jabatan Perikanan. 
Menurut Jamari penemuan terakhir bangkai penyu adalah pada tahun 2010 di pesisir pantai berhadapan Hotel Tiara Labuan dan penemuan terbaru ini merupakan kes keempat di pulau itu. 
"Jantina kedua-dua penyu itu tidak dapat diketahui berikutan keadaan fizikalnya yang telah reput...punca kematian kedua-dua ekor penyu berkenaan sedang disiasat namun tidak menolak kemungkinan berlaku perbuatan khianat manusia atau akibat tersangkut pada jaring nelayan. 
"Terdapat tali yang terikat di bahagian leher dan kaki bangkai penyu tersebut dan kemungkinan besar penyu itu tersangkut pada jaring pukat nelayan kerana terdapat tinggalan tali pukat pada kaki bangkai penyu tersebut," katanya.
Jamari berkata penyu merupakan haiwan dilindungi.

Sunday 20 April 2014

Bangkai Penyu karah ditemui

Kita dikejutkan dengan penemuan bangkai seekor penyu di pantai Kompleks Sukan Laut Labuan pada Sabtu lepas. Ia ditemui terdampar dan seperti yang kita lihat di gambar dibawah, penyu ini diikat di leher. Ini merupakan perbuatan khianat, tidak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab. Lihat dengan teliti ke simpulan tali tersebut.



PENYU KARAH DI LABUAN

Penyu karah merupakan spesis yang kini sedang diancam kepupusan. Penyu jenis ini biasanya akan berada berhampiran terumbu yang kaya dengan sumber makanan. Antara yang menjadi sumber makanan penyu karah ialah landak laut, ikan dan obor - obor.

Penyu karah juga dikenali sebagai Hawksbill turtle. Bunyinya seperti nama burung? Ini kerana bentuk kepala penyu ini seolah - olah berbentuk paruh burung. 

Menurut sumber yang sahih, penyu karah sudah lama mengunjungi perairan Labuan. Masa berlalu, dan dengan kepesatan ekonomi, keperluan aktiviti perikanan meningkat dan kekerapan kapal laut melintasi pesisiran pantai Labuan, penyu perlahan - lahan beralih ke kawasan Taman Laut Labuan. Di Pulau Rusukan Besar, ada pusat penetasan penyu yang didirikan dengan kerjasama Jabatan Taman Laut Labuan dan Petronas untuk menjaga dan melindungi telur - telur ini dari gangguan manusia. 

Tidak dinafikan, pada sesetengah orang, telur penyu seringkali dianggap sebagai hidangan yang sedap (dan adakalanya eksotik), namun jika difikirkan faktor kepupusan spesis penyu, adalah tidak wajar untuk kita bertindak menyokong perkara yang akan melenyapkan spesis penyu dari mukabumi. Kerana itulah penetasan penyu ini dipantau dan diletakkan di kawasan Taman Laut Labuan yang ditutup dari sebarang aktiviti perikanan. 

TAMAN LAUT LABUAN DAN PENYU

Taman Laut Labuan yang kaya dengan khazanah hidupan laut dan ekosistem marin adalah satu lagi khazanah yang perlu warga Labuan jaga dengan baik. Ekosistem marin di sini berfungsi untuk melindungi dan memelihara hidupan laut dari diancam aktiviti manusia. 

Pernah satu ketika dulu tindakan menutup kawasan Taman Laut Labuan dikecam kerana dipercayai akan mengganggu aktiviti perikanan dan mengancam sumber pendapatan golongan nelayan. Sebarang aktiviti perikanan terhad di luar jarak 1 batu dari kawasan Taman Laut Labuan.

Penyu karah memerlukan kawasan yang sesuai untuk mendarat bagi tujuan bertelur. Seperti yang dinyatakan awal tadi, penyu beralih dari pantai Labuan ke pantai di pulau - pulau yang terletak di Taman Laut Labuan. Sumber - sumber semulajadi yang ada di dasar laut di sini menyediakan sumber makanan untuk penyu. Kerana itu aktiviti perikanan dilarang di kawasan Taman Laut Labuan atas faktor selain melindungi spesis terancam, ia juga bertujuan untuk menjaga sumber makanan hidupan laut.

Pastinya kita juga akan menjauhi restoran / tempat makan yang kotor dan tercemar, bukan?

Walaubagaimanapun, kawasan Taman Laut Labuan boleh dikunjungi oleh sesiapa sahaja untuk aktiviti riadah seperti berkelah, snorkelling dan aktiviti menyelam. Terdapat banyak batu karang dan spesis hidupan yang cantik dan berwarna - warni. 

PERANAN MASYARAKAT

Bangkai penyu mati terdampar di pantai Labuan bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku. Penulis sendiri pernah terjumpa bangkai penyu yang cengkerangnya pecah; mungkin terkena kipas enjin bot, di pantai Layang - Layangan. Namun setelah memahami fungsi dan keperluan ekslusiviti Taman Laut Labuan, kita akan tahu sedikit sebanyak, Taman Laut Labuan berperanan dalam membekalkan sumber makanan kepada kita di Labuan.

Namun atas penemuan bangkai penyu ini yang mati dalam keadaan disengajakan, seolah - olah dijatuhi hukuman gantung, diharapkan warga Labuan akan sedar kewujudan spesis penyu ini yang menjadikan perairan kita sebagai 'persinggahan' dalam meneruskan kehidupan mereka. Sebagai tuan rumah, kita harus menjaga kebajikan pengunjung ini yang memilih perairan Labuan sebagai tempat untuk bertelur.

Jabatan Taman Laut Labuan sentiasa mengalu - alukan penyertaan dari masyarakat Labuan untuk terlibat dalam sama - sama menjaga Taman Laut Labuan. Antaranya ialah program pembersihan pantai dan dasar laut yang sering diadakan. Jika anda berminat untuk menyertai program anjuran Jabatan ini, sila kunjungi dan ikuti perkembangan mereka di Facebook Taman Laut Labuan.

Jika anda pernah terlihat aktiviti penjualan telur penyu, laporkan juga kepada Jabatan Taman Laut Labuan kerana perbuatan ini menyalahi undang - undang.

Jika anda ternampak penyu yang ditangkap dan diperlakukan dengan kejam, laporkan juga kepada Jabatan Taman Laut. Atau sekurang - kurangnya anda sendiri berusaha untuk menghentikan kejadian itu. 

Jika anda ditawarkan telur penyu, pilih untuk berkata tidak. Sekurang - kurangnya jika ia belum dimasak, tanam ia ke dalam pasir yang dekat dengan pantai. Bila masanya tiba, dan diizinkan Allah, anak penyu akan menetas dan ia pula akan meneruskan kehidupan di laut kerana tindakan anda yang prihatin dan bertanggungjawab.

Thursday 17 April 2014

Lawatan ke Pulau Rusukan Besar - Mac 2014

Pada bulan Mac 2014, kami sekali lagi 'berkampung' di Pulau Rusukan Besar untuk menambah koleksi material untuk meneruskan usaha membantu Jabatan Taman Laut Labuan memperkenalkan Taman Laut Labuan sekaligus menunjukkan keindahan hidupan bawah laut untuk tatapan semua.


Taman Laut Labuan from Cinematix Production on Vimeo.

Kali ini kami disertai pasangan adik beradik Rosli dan Roslan Alias, Mohd Hatta dan Hanibman yang akan membantu merakam visual dari udara.

Lawatan kali ini bertumpu di Pulau Rusukan Besar, dan baki masa yang tinggal kami luangkan di pulau Kuraman untuk rakaman visual.


Insya Allah kami akan teruskan lagi lawatan seterusnya dengan menumpukan kepada Pulau Rusukan Kecil dan mula membuat kumpulan data berkaitan hidupan laut di Taman Laut Labuan.

Share this