Friday 23 May 2014

Taman Laut Labuan dan warga Labuan

Semenjak memulakan projek kerjasama dengan Jabatan Taman Laut Labuan, saya dan rakan - rakan menerima banyak pertanyaan yang majoritinya bertanyakan lokasi sebenar Taman Laut Labuan. Dan bila diterangkan, ramai yang tidak tahu nama Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil. Seterusnya kami diberitahu, umum mengetahui nama Pulau Rusukan Kecil sebagai Pulau Mayat, kerana itulah bentuk yang mendatangkan kefahaman visual paling mudah.

Kami faham jika ada warga Labuan sendiri tidak mengenali setiap satu nama pulau di Taman Laut Labuan. Kami faham jika ia cuma dikenali di kalangan penggemar aktiviti skuba, snorkeling atau memancing.

Wajarkah dirumuskan fungsi Taman Laut Labuan ini dilindungi dari pengetahuan orang ramai untuk tujuan perlindungan, sedangkan ketiga - tiga pulau ini dapat dilihat dengan jelas dari pantai sebelah selatan pulau ini? Bukankah untuk melindungi sesuatu, kita semua patut tahu apa yang perlu kita lindungi, dan menilai kewajaran untuk berusaha melindunginya. Jika tiada kepentingan, dan tidak pula mendatangkan kerugian jika tidak dilindungi, mungkin kita akan biarkan ia disitu tidak disentuh.

Secara mudah, Taman Laut Labuan ini menyediakan bekalan makanan untuk hidupan laut. Ia juga tempat perlindungan untuk spesis terancam. Bagaimana? Kerana ia kaya dengan sumber makanan, ia menarik kedatangan hidupan laut ke mari.

Status Taman Laut juga membenarkan penguatkuasaan larangan memancing atau sebarang aktiviti perikanan. Kita ambil contoh penyu karah yang datang bertelur di Taman Laut Labuan kerana kawasan ini bebas dari aktiviti manusia, dan ia bebas dari pencemaran. 

Apa kepentingan Taman Laut Labuan kepada masyarakat di pulau Labuan?

Sumber makanan.

Tapi kenapa dikuatkuasakan larangan memancing? Bukankah lebih mudah mendapatkan ikan di kawasan yang banyak sumber makanan?

Di dalam Taman Laut Labuan, hidupan laut 'disediakan' untuk hidup di luar kawasan. Diluar kawasan, tiada larangan untuk aktiviti perikanan. Kerana jika aktiviti perikanan berlaku di dalam kawasan Taman Laut Labuan, ia akan merosakkan sumber makanan dan seterusnya menyebabkan hidupan laut beralih ke tempat lain untuk terus hidup. Dan bila hidupan laut ini beralih ke tempat lain, nelayan tempatan akan terpaksa pergi lebih jauh untuk menangkap ikan. Kos perjalanan yang lebih jauh itu kemudiannya akan dipindahkan ke pengguna. Tukun tiruan, termasuk kapal APMM telah ditempatkan diluar kawasan Taman Laut Labuan untuk pembiakan batu karang dan ikan bagi menampung aktiviti perikanan.



Selain sumber makanan, apa sumbangan Taman Laut Labuan kepada masyarakat di pulau Labuan?

Eko - pelancongan.

Tahukah anda, sektor pelancongan jenis ini mampu menjana keuntungan berbilion ringgit di seluruh dunia?
Tahukah anda Jabatan Taman Laut Labuan membantu menyediakan alternatif kepada nelayan tempatan untuk mempelajari dan menjalankan perniagaan berkaitan eko-pelancongan?

Contoh paling mudah ialah menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk peminat aktiviti skuba ke lokasi menyelam di sekitar Taman Laut Labuan. Masyarakat di pulau Labuan perlu ambil peluang dalam industri eko-pelancongan supaya kita lebih dikenali dengan khazanah alam semulajadi.

Tidak rugi untuk cuba peluang ini. Contohnya jika anda atau keluarga menyertai dan menyediakan program homestay, anda boleh perkenalkan pakej baru iaitu 'island hopping' dan 'scuba diving'.

Walaubagaimanapun, eko-pelancongan ini perlu dikawalselia dengan baik dan professional untuk memelihara keadaan dan persekitaran Taman Laut Labuan. Eko-pelancongan yang tidak dikawal selia akan lebih memudaratkan berikutan tiada kawalan ke atas aktiviti yang berlaku di taman laut. Contohnya, pembuangan sampah dan sisa makanan pelancong atau aktiviti selaman dan snorkeling yang tidak beretika (menyentuh atau merosakkan batu karang yang sensitif).

Mendekatkan diri dengan Taman Laut Labuan

Cara termudah untuk mendidik tentang Taman Laut Labuan ialah belajar tentangnya. Sebenarnya hanya perlu berkunjung ke pejabat Taman Laut Labuan untuk mendapatkan maklumat.

Pendidikan formal bermula dari kecil. Dan di sekolah, kita diperkenalkan kepada subjek - subjek yang telah diadun khas untuk menepati standard yang ditetapkan. Di mana ruang untuk mendekati alam semulajadi?

Ko-kurikulum. Aktiviti luar sekolah.

Kaedah belajar yang terbaik ialah kaedah yang menggunakan semua deria di tubuh kita. Kita melihat, mendengar, menyentuh untuk lebih faham. Kita keluar dari bilik darjah /  kelas untuk merangsangkan semua deria. Mungkin sedikit sukar untuk membawa pelajar - pelajar sekolah ini ke kawasan Taman Laut Labuan dan kerana ia hanya boleh diakses melalui jalan laut, pasti wujud sedikit isu tentang keselamatan.

Kunjungan ke Muzium Marin mungkin boleh membantu. Tetapi selaras dengan perkembangan semasa, pembelajaran melalui kunjungan ke muzium marin sebaiknya disediakan melalui tayangan visual dan penyediaan maklumat grafik yang menarik. Kanak - kanak zaman sekarang lebih senang belajar melalui visual grafik. Saya akui pembacaan teks di maklumat yang dipaparkan dalam kotak pameran lebih bermanfaat, tetapi untuk menarik perhatian generasi muda, penggunaan visual lebih berkesan. Kaedah penerangan ringkas perlu diperkenalkan melalui grafik yang kreatif bagi menambahkan kecenderungan untuk lebih tahu, seterusnya memupuk minat membaca bagi mengetahui dengan lebih lanjut.



Tidak rugi sebenarnya untuk memelihara Taman Laut Labuan. Yang rugi ialah bila kita pilih untuk mengabaikan kewujudan dan fungsi Taman Laut Labuan. Rugi yang tidak mampu diganti dengan wang ringgit.

1 comment:

Share this