Sunday 11 May 2014

Catatan kunjungan kali ke-3

Pada 10 dan 11 Mei 2014, kami berkunjung sekali lagi ke Pulau Rusukan Besar. Seperti biasa, kami ke sini untuk dapatkan material visual dan maklumat untuk bekerjasama dengan membantu usaha Jabatan Taman Laut Labuan memperkenalkan tarikan eko pelancongan di samping menggalakkan kesedaran kepentingan menjaga ekosistem yang wujud di Taman Laut Labuan.



Pada kali ini, kami dibahagikan kepada tiga kumpulan yang akan merakamkan visual untuk scene bawah air dan sekitar Pulau Rusukan Besar untuk montaj video yang akan diterbitkan. Kami dimaklumkan tentang kehadiran beberapa ekor penyu di kawasan perairan Pulau Kuraman beberapa hari sebelumnya, dan kumpulan video untuk bawah air akan berusaha untuk mendapatkan footage bagi tujuan tersebut. Namun, tiada kelibat penyu dapat dikesan pada hari aktiviti selaman. Rakaman tetap dijalankan di kawasan batu karang jenis 'table coral' yang aktif dan luas.


Gambar oleh saudara Roslan Alias
Batu karang merupakan sumber makanan untuk hidupan laut, dan di dalam kawasan Taman Laut Labuan, undang - undang larangan memancing atau sebarang aktiviti perikanan yang menangkap hidupan laut dikuatkuasakan bagi melindungi ekosistem. Ekosistem ini yang membekalkan makanan laut dan sebarang aktiviti manusia yang berlebihan akan mengganggu proses rantaian makanan.

Kami terlibat bekerjasama dengan Jabatan Taman Laut Labuan dengan menyumbangkan kepakaran fotografi dan videografi sebagai bukti data visual yang akan digunakan dalam proses pendidikan dan pemuliharaan Taman Laut. Komitmen yang kami berikan adalah berdasarkan semangat sukarelawan berikutan timbul kesedaran tentang isu - isu yang terbukti telah berlaku, sedang berlaku dan akan mengancam hidupan dasar laut di kawasan ini. 


Lebih ditekankan ialah bila ada pelanggaran undang - undang di dalam kawasan Taman Laut Labuan ini dilakukan atas dasar mengaut keuntungan yang sebenarnya tidak seberapa berbanding memelihara spesis terancam, contohnya seperti penyu karah. (Rujuk artikel Penyu mati ditemui di Link 1, Link 2). Dalam kerjasama ini, ada interaksi antara kami dan Jabatan Taman Laut Labuan. Keberkesanan atau hasil interaksi tersebut bergantung kepada penyampaian kami dan penerimaan masyarakat di W.P. Labuan.


Sesiapa pun boleh berkunjung ke Taman Laut Labuan untuk aktiviti snorkeling, diving dan berkelah. Di mana - mana sanctuary pun, kesedaran wujud setelah pengunjung sedar akan keindahan suasana di dasar laut, dan setelah mengetahui faktor - faktor yang akan memusnahkan sebahagian atau keseluruhan ekosistem itu sendiri. Tiada orang yang mahu lihat ciptaan yang cantik musnah. Dan tiada siapa yang mahu sumber makanan manusia itu sendiri nanti akan terganggu. 

Memetik komen di Facebook seorang kawan tentang perkara pemuliharaan penyu, 
".. Penyu mati, mana boleh dicipta semula.."
Kesedaran ini terpakai untuk semua spesis dan hidupan di dasar laut Taman Laut Labuan, kerana tujuan diwartakan Taman Laut Labuan ini ialah untuk melindungi. 

Dan sebagai tuan rumah, kita bertanggungjawab berusaha melindungi dan memulihara selagi mampu.  Jika bukan untuk kita, ianya untuk generasi akan datang.

Beach at Rusukan Besar Island


The Whisper Of Nature from amuqtadirhalim on Vimeo.


=========================================================
Gambar oleh Roslan Alias, Rizuan Nizzam, Haji Zulkiflee dan Mohd Saifulrizan

Video oleh A Muqtadir Halim dan RIzuan Nizzam
=========================================================

No comments:

Post a Comment

Share this